h1

KEMASUKAN KE UNIVERSITI DI MAGHRIBI

20 April, 2008

Universiti-Universiti Di Maghribi Yang Diiktiraf Oleh Kerajaan Malaysia

1. Universiti Ibn Tofail – Kenitra

FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES
BP: 401, Kénitra

Tél. :
(037)37-22-04/05/06
Fax : (037)37-21-52

E-Mail:http://www.univ-ibntofail.ac.ma/fra/index.php

2. Universiti Mohammed V – Rabat
FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES
3,Avenue Ibn Batouta BP:1040, Rabat
Tél. :
(037)77-19-89/77-20-15
Fax : (037)77-20-68

3. Universiti Hassan II – Mohammedia

FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES
Boulevard
Hassan II, BP:546, Mohammedia
Tél. : (023)32-48-73/74
Fax : (23)32-53-77

E-Mail:
flsh-uh2m@fusion.net.ma

4. Universiti Hassan II – Ain Chock, Casablanca

FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES ain chok
Quartier AL Inara BP:8507 Ain Chok, Casablanca
Tél. : (022)21-39-65/21-29-67/21-12-23
Fax : (022)21-49-74
E-Mail:
flsh@flsh-uh 2c ac.ma

5. Universiti Qurawiyyin – Fes

6. Universiti Qurawiyyin (Fakulti Usuluddin) – Tetouan
FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES
Route de Martil BP:26 Martil, Tétouan
Tél. : (039)97-93-93
Fax : (039)97-91-28

7. Universiti Qurawiyyin (Fakulti Bahasa Arab) – Marrakech

8. Universiti Muhammad Al Awwal – Oujda

FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES
BP:457, Oujda
Tél. : (056)74-47-77/58
Fax : (056)74-47-41/58

E-Mail: http://lettres.univ-oujda.ac.ma/

9. Universiti Sidi Muhammad Abdullah – Fes

FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES dhar mehrez
Dhar Mehrez BP:50, Fès
Tél. :
(055)64-17-75/39
Fax : (055)64-08-44

FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES sais
BP: 59 Fac des L.S.H .SAIS FES, Fès

Tél. :
(055)61-82-26
Fax : (055)64-09-84
E-Mail:
fl.sais@fesnet.net.ma

10. Universiti Qady Ayyad – Marrakech

FACULTE DES LETTRES ET DES SCIENCES HUMAINES
Quartier Amerchich BP 2410, Marrakech
Tél. : (044)30-19-62/30-27-42
Fax : (044)30-20-39

Untuk Keterangan Lanjut, Sila berkunjung ke Laman Web ini :

1.) http://www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainIktiraf.asp

2). http://www.eghrmis.gov.my/wp_content2/IktirafKelayakan/Sastera/SSK/iKelayaka_ms37.ht

KEMASUKAN KE UNIVERSITI DI MAGHRIBI

Ijazah Sarjana Muda

——————-

1. Syarat-syarat kemasukan :

- SPM dan sijil yang digunakan mestilah yang terbaru (dikeluarkan pada tahun pendaftaran). (SIJIL SPM SAHAJA).

- Mata pelajaran yang diambil kira : Bahasa Arab

(BAT:1-4 / BAK:1-4) dan Bahasa Inggeris (1-6).

2. Cara-cara memohon :

Hantar semua dokumen-dokumen yang diperlukan ke Kementerian Pengajian Tinggi, Putra Jaya, Malaysia.

3. Dokumen-dokumen yang diperlukan:

1- Salinan sijil SPM dan terjemahan (salinan slip keputusan

awal boleh digunakan untuk tujuan proses).

2- Salinan kad pengenalan.

3- Salinan surat beranak dan terjemahan.

4- 4 (empat) keping gambar berukuran pasport.

- Segala salinan dokumen hendaklah dibuat pengesahan terlebih dahulu.

- Sila buat terjemahan di mana-mana pusat penterjemahan ke dalam Bahasa Arab.

4. Waktu permohonan :

Sebaik sahaja keputusan SPM diumumkan sehingga bulan September.

- Sijil-sijil dan dokumen-dokumen yang asal hendaklah dibawa bersama ke Maghribi.

Maklumat-maklumat tambahan :

01. Universiti-universiti di Maghribi kebanyakannya diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

02. Tempoh pengajian adalah :

- 3 tahun bagi sarjana muda (B.A).

- 2 tahun bagi master (M.A)

- 5 tahun bagi doktor falsafah (P.H.D) (2 tahun belajar dan 3 tahun menulis tesis).

03. Yuran pengajian adalah PERCUMA.

04. Di sebahagian universiti mereka juga layak untuk memohon asrama secara percuma.

05. Kerajaan Maghribi kemungkinan akan menyediakan bantuan kewangan.

06. Bantuan ini akan diberikan sebanyak 750 DIRHAM (RM330) sebulan kecuali pada bulan 7 dan 8 tidak disediakan. Adalah lebih baik sekiranya mendapat bantuan tambahan dari Malaysia.

07. Bantuan kewangan dari Malaysia boleh dipohon samada dari Pejabat Zakat Negeri, Majlis Agama Islam, Yayasan Negeri, atau sebagainya.

08. Perbelanjaan sara hidup di Maghribi iaitu makan, sewa tempat tinggal dianggarkan sebanyak 1200DH (Dirham) = RM 500 sebulan atau lebih.

09. Visa melawat hendaklah diambil dari Kedutaan Maghribi di Kuala Lumpur sebelum datang.

- visa berharga RM80 beserta 3 keping gambar.

- sila minta visa untuk 3 bulan.

10. Tiket penerbangan juga boleh diminta atau membuat pengkleman daripada Majlis Agama Islam Negeri (dengan syarat anda sudah menerima surat tawaran belajar di Maghribi).

Pengajian M.A atau PHD

———————-

Dokumen-dokumen yang perlu dihantar untuk permohonan bagi pengajian M.A dan P.H.D :

1. salinan kad pengenalan Malaysia.

2. salinan surat beranak (beserta terjemahan).

3. sijil ijazah (B.A).

4. 4 keping gambar berukuran pasport.

5. setiap dokumen atau sijil yang difikirkan sesuai.

- Segala salinan dokumen hendaklah dibuat pengesahan terlebih dahulu.

- Sila buat terjemahan di mana-mana pusat penterjemahan di Malaysia.

Masa untuk membuat permohonan M.A atau PHD pada bulan Ogos setiap tahun.

- Bagi pelajar lepasan Ijazah di Maghribi, sila sediakan sekali bahas Ijazah, keputusan peperiksaan setiap semester, surat sokongan dari mana-mana Asatizah.

- Yuran pengajian adalah PERCUMA.

Maklumat bagi pengajian M.A atau PHD :

Bidang pengajian yang terdapat di universiti-universiti berikut:

(bagi Pengajian Islam sahaja)

a) Universiti di Rabat :

1. Universiti Muhammad 5, Rabat

- bidang Maqasid al-Aqdiyyah.

- bidang Ilmu Qiraat.

- bidang Ijtihad.

2. Dar AlHadis AlHasaniah, Rabat

- alQuran & asSunnah.

- alFiqh & Usul alFiqh.

b) Universiti di Fes.

1. Universiti al Qarawiyyin

- bidang Syariah.

2. Universiti Muhammad bin Abdullah

- bidang Khitobus Syar’ie (bab Usul dan Maqasid).

c) Universiti di Tetouan.

- bidang Usuluddin – akidah dan falsafah.

d) Universiti Ibn Tofail, Kenitra.

- asbab ikhtilaf fi 3ulum syari3ah

e) Universiti Muhammad al-Awwal, Oujda.

- al-Khitob Wa Tajdid al-Dakwah al-Islamiah

PERHATIAN!!!

Bidang pengajian yang dinyatakan ini sentiasa berubah dari tahun ke tahun.

Alamat Kedutaan Malaysia di Maghribi:

Duta Besar Malaysia di Rabat,

17, Avenue Bir Kacem

Souissi, Rabat

Royaume du Maroc / Morocco

Tel : 212-37658324/37658355

Fax : 212-37658363

Alamat Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi:

Presiden

Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi

[The Association Of Malaysian Students In Morocco]

No. 9, Rue Mansour Ez-Zehbi,

14000 Kenitra,

Royaume Du Maroc / Morocco.

Tel : 212-37376035/37376350

Suntingan Oleh :

YB : ABCD

Hayy El-Fath, Saknia, Kenitra – 20 April 2008 – Ahad – 23:58

“BERHIJRAHLAH KE ARAH PARADIGMA YANG LEBIH BAIK”

h1

KEMPEN MENDERMA DARAH

18 April, 2008

Assalamualaikum Warahmatullah.

Buat pengetahuan ahli PMMM semua khususnya kat Kenitra, sekarang ni Tabung Darah Kenitra bersebelahan dengan Hospital al-Idrisi ada mengadakan kempen menderma darah. Jadi, bagi sesiapa yang ingin menderma darah, dialu-alukan.

Dikesempatan ini, berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang ada pada saya, tak salah untuk saya berkongsi dengan anda semua mengenai darah.

Ok, jenis-jenis darah boleh dikategorikan kepada A, B, AB dan O. Darah AB dikenali sebagai Penerima Universal kerana dapat menerima darah A, B, AB dan O. Manakala darah O dikenali sebagai Penderma Universal kerana dapat menderma ke semua jenis darah A, B, AB dan O. Ada pun mereka yang berdarah A hanya dapat menderma kepada mereka yang berdarah A dan AB dan menerima darah A dan O sahaja. Begitu juga mereka yang berdarah B hanya dapat menderma kepada mereka yang berdarah B dan AB dan menerima darah B dan O sahaja.

Tentang pengambilan darah pula, hanya 450 ml sahaja yang akan diambil setiap kali kita menderma darah. Bagi lelaki, mereka boleh menderma darah setiap 3 bulan sekali. Maknanya dalam setahun, mereka boleh menderma sebanyak 4 kali. Berbeza dengan perempuan, mereka boleh menderma darah setiap 4 bulan sekali. Maknanya dalam setahun, mereka hanya boleh menderma sebanyak 3 kali sahaja.

Kenapa kita perlu menderma darah? Ok, darah memainkan peranan penting dalam sistem tubuh badan kita. Tanpa darah, kita tidak akan bernyawa @ sistem badan kita akan berhenti dari berfungsi. Jadi hargailah darah kita. Dengan menderma darah, kita dapat menyelamatkan beribu-ribu nyawa manusia yang amat memerlukan. Tidakkah kita ingin membantu mereka?

Dengan menderma darah, kita dapat menyihatkan tubuh badan kita. Ibarat sebuah kereta yang perlu ditukar minyak pelincir bila tiba ke satu tahap yang ditetapkan bagi menjaga enjin kereta tersebut. Begitu juga dengan tubuh badan kita. Sekiranya kita tidak menderma darah sekalipun, akan berlaku proses perkumuhan badan untuk pertukaran darah. Maka, alangkah baiknya kalau kita menderma darah kerana ianya dapat membantu insan yang memerlukan.

Sebenarnya, menderma darah ini boleh disamakan dengan berbekam yang merupakan sunnah Rasulullah S.A.W. Bezanya, berbekam kita mengeluarkan darah yang kotor. Adapun menderma darah, kita dapat menyelamatkan nyawa manusia dengan darah yang diambil dari badan kita. Rasanya tak rugi kita menderma darah kerana ianya tidak melibatkan sebarang kos perbelanjaan malah ianya mendatangkan faedah sampingan buat kita.

Sebagai contoh, sekiranya kita ingin melakukan pemeriksaan kesihatan untuk kegunaan proses kemasukan Universiti, maka akan dikenakan sedikit bayaran. Adapun jika kita lakukan pemeriksaan kesihatan ini melalui Tabung Darah, ianya adalah percuma. Begitu juga keistimewaan kelas wad sekiranya kita terpaksa tinggal di hospital akibat ditimpa kemalangan. Apa pun, itu semua bukan tujuan utama kita. Yang pasti, ikhlaskan niat kita pada jalan Allah bagi membantu insan-insan yang memerlukan.

Kenapa kita tidak ingin menderma? Antara alasan-alasan yang selalu saya dengar ialah:

(1) Kami orang perempuan kurang sesuai untuk menderma darah. Betul ker? Anda perlu ingat bahawa orang perempuan la yang banyak memerlukan darah. Kenapa saya berkata begitu? Ini kerana, hanya orang perempuan yang melahirkan anak. Banyak kes yang kita dengar ibu-ibu yang mengandung banyak kehilangan darah. Jadi, kalau bukan kaum Hawa sendiri yang membantu, siapa lagi?

(2) Kami kurus. Kami kurang darah. Sepatutnya kami yang perlu menerima darah. Ok, anda perlu tahu bahawa kenyataan anda ini adalah salah. Sekiranya anda kurang darah, sudah tentu anda tidak akan hidup normal. Pelbagai penyakit akan menimpa anda. Kurus bukan penyebabnya. Lagi satu, anda mahukan darah? Begitu juga orang lainkan? Jadi, kenapa tidak ingin menderma? Kenapa kita hanya ingin menjadi penerima? Bukannya pemberi.

(3) Orang yang menderma darah akan jadi gemuk. Ini betul sekiranya anda tidak menjaga pemakanan anda. Untuk pengetahuan, selepas kita menderma darah, tubuh badan kita akan letih kerana kita kekurangan darah. Masa tu kita perlu kembalikan darah kita dengan makan makanan yang berprotein dan berkhasiat. Tapi, sila jaga pemakanan anda. Gemuk bukan kerana kita menderma darah tetapi kerana kita tidak jaga pemakanan kita.

Rasanya itulah serba sedikit mengenai pengetahuan menderma darah yang dapat saya kongsikan bersama anda. Sungguh saya kata, tak rugi anda menderma darah. Lebih-lebih lagi, jika keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai anda sendiri yang memerlukannya. Ingat, kita semua bersaudara. Mungkin kita tidak berduit atau berharta untuk membantu saudara kita. Tapi kita punya darah untuk membantu mereka lebih-lebih lagi saudara sesama Islam kita di Palestin, Iraq dan sebagainya yang berhadapan dengan situasi perang.

Alhamdulillah, saya sendiri baru sahaja menderma darah buat kali ke-9 di Maghribi. Dan sebelum ini 4 kali semasa berada di Malaysia. Insya Allah jika diizinkan, kita bergerak setapak lagi dengan mendermakan organ kita. Tanamkan niat kita untuk berbuat demikian. Maklum la, bila dah masuk kubur nanti, semuanya akan hancur. Jadi, apa salahnya kita dermakan organ kita yang masih boleh digunakan sebelum tubuh ini dimasukkan ke kubur.

Wassalam.

YB : ABCD

Villa Abou Temmam, Kenitra – 18 April 2008 – Jumaat – 02:06

“BERHIJRAHLAH KE ARAH PARADIGMA YANG LEBIH BAIK”

h1

Sehari Bersama al-Allamah al-Sheikh Abdullah al-Talidi

17 April, 2008


Pada 26/02/2008, ana, abe Boy dan Maey menaiki keretapi ke Tanger jam 02:37 pagi. Kami sampai di stesen keretapi Tanger dalam kul 07:25 pagi. Sampai sahaja depan pintu keluar stesen, kami terus menaiki teksi ke Zawiyah Talidiah di Marshan, Tanger.

Kami terlambat sampai ke Zawiyah Talidiah. Al-Sheikh Abdullah al-Talidi telah pun selesai menyampaikan kuliahnya. Buat pengetahuan semua, pada hari Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa, al-Sheikh mengajar Sahih Muslim syarh Imam al-Nawawi (676H) lebih kurang sejam dari jam 07:00 pagi hingga 08:00 pagi.

Kami sedikit kecewa kerana tidak dapat mendengar kuliah al-Sheikh. Tetapi kekecewaan kami ini terubat kerana al-Sheikh sudi meluangkan sedikit masa untuk bertaaruf dengan kami. Mengikut anak muridnya, al-Sheikh sangat menitikberatkan masa seolah-olah 24 jam sehari tidak cukup untuk beliau. Berlawanan dengan kita yang mana seolah-olah 24 jam sehari terlalu lama. Faham-faham la yer. Huhu…
Seterusnya, kami dibawa oleh anak murid al-Sheikh ke maktabah untuk beristirehat. Kami dijamu dengan sarapan pagi sambil berborak-borak dengan anak murid al-Sheikh untuk mengenali al-Sheikh dengan lebih dekat.

Pada jam 11:20 pagi, kami ingin beredar tetapi anak murid al-Sheikh menyuruh kami tunggu sehingga makan tengahari. Tidak dapat tidak, terpaksalah kami tunggu. Lagipun itulah rezeki bagi mereka yang bermusafir. Hehe… Tetapi sementara menunggu, kami keluar dari Zawiyah Talidiah menuju ke bandar Tanger dan juga pelabuhan Tanger.

Dalam jam 14:15 petang, kami kembali semula ke Zawiyah Talidiah. Setelah selesai menunaikan solat, kami dijamu dengan makan tengahari sambil menyambung kembali sesi borak-borak dengan anak murid al-Sheikh. Buat pengetahuan semua, al-Sheikh merupakan seorang sufi. Maka sedikit sebanyak, mengertilah kami akan perbezaan Sufi dan Salafi.

Sebagai contoh mengikut anak murid al-Sheikh, al-Sheikh Abdullah al-Talidi mendakwa bahawa dirinya bermimpi bertemu Allah Taala di dalam mimpi. Akan tetapi, dakwaan al-Sheikh disanggah atau disangkal oleh al-Sheikh Muhammad Bukhubzah, seorang ulamak Salafi di Tetouan. Maka, al-Ustaz Muhammad Ibn al-Azraq, lepasan Dar al-Hadis al-Hasaniah, Rabat telah menulis sebuah kitab bertajuk “رؤية الله في المنام بين إثبات العلامة عبد الله التليدي وإنكار الشيخ محمد بوخبزة“.

Sebelum kami beredar dari Zawiyah Talidiah menuju ke Tetouan, sekali lagi kami bertemu al-Sheikh selepas al-Sheikh selesai menunaikan solat Asar. Sebagai kenangan, kami sempat bergambar kenangan bersama al-Sheikh. Dan sedikit terkejut tetapi terharu, anak murid al-Sheikh memberitahu kami bahawa al-Sheikh sudah beberapa tahun tidak suka bergambar. Kami kira ini satu penghormatan buat kami.

Itulah sedikit sebanyak catatan ana buat semua. Dan harapan ana kepada pelajar kita di Maghribi ini agar dapat menziarahi para ulamak Maghribi tak kira apa jua fahaman mereka memandangkan kita semua berada di bumi Maghribi. Siapalah kita untuk memilih atau bersetuju dengan satu fahaman sahaja. Jika anda semua tidak bersetuju dengan saranan ana ini, maka ana nasihatkan diri ana dan anda semua, biarlah kita menerima atau menolak satu fahaman itu dengan cara mengkaji dan memahami dengan berjumpa sendiri tokoh-tokoh fahaman itu dan bukannya hanya mendengar dari mulut orang sahaja lantas terus menerima akan apa yang orang itu cakap.

YB : ABCD

Martil, Tetouan – Rabu – 27/02/2008 – 19:51

“BERHIJRAHLAH KE ARAH PARADIGMA YANG LEBIH BAIK”

h1

Sejarah Ringkas Al-Hafiz Abu al-Fadl Abdullah al-Siddiq al-Ghumari

15 April, 2008

Beliau ialah al-Syeikh al-Sayyid Abu al-Fadl Abdullah bin al-Allamah Abu Abdillah Syamsuddin Muhamad bin al-Wali al-Kabir Sayyidi Muhammad al-Siddiq ibn Sayyidi Ahmad bin Muhammad bin Qasim bin Muhammad bin Abdul Mukmin al-Ghumari al-Tanji bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al-Husain bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa’id bin Mas’ud bin al-Fudail bin Ali bin Umar bin al-Arabi `Allal bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris bin Maulana Idris al-Kamil bin Abdullah bin al-Hassan al-Muthanna bin Sayyidina al-Hasan bin Sayyidina Ali r.a. dan Fatimah az-Zahra binti Muhammad Rasulullah s.a.w.

Dilahirkan pada penghujung bulan Jamadil Akhir tahun 1328 H / 1910 M di Tanger, Maghribi.

Sejak kecil beliau mendapat pendidikan daripada bapanya. Semasa di bawah pendidikan bapanya beliau telah menghafal al-Quran dengan riwayat Warash, kemudian riwayat Hafs. Setelah itu beliau menghafal sesetengah matan ilmu agama seperti Manzumah al-Khazzar yang berjudul Maurid al-Zam’an dan sebahagian besar daripada Matan Alfiyyah, Matan Arba’in an-Nawawi, Ajrumiyyah, Bulugh al-Maram dan Mukhtasar al-Syeikh al-Khalil. Beliau kemudiannya mempelajari kitab Syarh al-Azhari `Ala al-Ajrumiyyah daripada saudaranya Abu al-Fayyid.

Setelah itu dengan perintah bapanya beliau telah merantau ke Fes untuk menuntut ilmu di Universiti al-Qurawiyyin. Di situ beliau belajar Syarh al-Alfiyyah karangan al-Makudi daripada al-Syeikh al-Syarif al-Habib al-Muhaji. Beliau juga mempelajari kitab tersebut beserta hasyiahnya (nota tepi) daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj bin al-Mahsyi. Beliau mempelajari Syarh Ibn `Aqil dan Hasyiah al-Sija’i daripada al-Syeikh Muhammad al-Hajj. Beliau mempelajari bahagian awal Syarh al-Kharsyi `Ala Mukhtasar Khalil daripada al-Syeikh al-Habib al-Muhaji dan kitab al-Jinayat dalam Syarh al-Kharsyi daripada al-Syeikh Ahmad al-Qadiri. Bab al-Buyu’ (jual-beli) dipelajari daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj. Beliau mempelajari Syarh al-Bukhari oleh Imam al-Qastalani daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj di Masjid Maulaya Idris. Antara lain lagi guru beliau berkaitan kitab terbabit ialah al-Syeikh al-Husain al-`Iraqi, al-Allamah Abdul Hayyi al-Kattani. Beliau mempelajari kitab Jam’ al-Jawami’ Syarh al-Muhalla daripada beberapa orang guru seperti al-Syeikh alèHusain al-`Iraqi, al-Allamah Abdullah al-Fudaili dan al-Syeikh al-Abbas Bannani.

Pada penghujung bulan Sya’aban 1349 H / 1930 M, beliau merantau ke Mesir dan menyambung pelajaran di al-Azhar. Di situ beliau mempelajari berbagai ilmu daripada ramai guru seperti al-Syeikh Abdul Qadir al-Zantani al-Tarabulsi, al-Allamah Muhammad Hasanain Makhluf al-Adawi al-Maliki, al-Syeikh Hamid Jad, al-Syeikh Mahmud Imam Abdul Rahman al-Mansuri al-Hanafi. Demikian adalah sebahagian kecil daripada bab dan kitab ilmu yang dipelajarinya yang dapat dimuatkan di sini secara ringkas. Secara umumnya beliau telah menghabiskan berbagai lapangan ilmu agama daripada ramai guru.

Beliau telah mengabdikan hidupnya dalam lapangan ilmu dengan mengajar kitab Jam’ al-Jawami’ Bisyarh al-Muhalla, Syarh al-Malawi `Ala al-Silm, Sullamu al-Wusul Ila `Ilm al-Usul, al-Jauhar al-Maknun fi al-Balaghah, Syarh al-Makudi, Tafsir al-Nasafi, al-Ahkam lil Amidi dan Tafsir al-Baidawi.

Beliau meninggal dunia di Tanger, Maghribi pada hari Khamis 19 Sya’aban 1413 H / 11 Febuari 1993 M dan dikebumikan bersebelahan kubur bapanya.

Guru-guru Abdullah al-Siddiq al-Ghumari:-

Maghribi

(1) Bapanya, al-Sayyid Muhammad bin al-Siddiq rahimahullah.

(2) Saudaranya al-Hafiz al-`Allamah Abu al-Fayyid Ahmad.

(3) Al-`Allamah al-Syeikh al-Qadi al-Abbas bin Abi Bakr Bannani.

(4) Al-Syeikh Fathullah al-Bannani al-Rabati.

(5) Dan ramai lagi.

Tunis

(1) Al-Syeikh Tahir bin Asyur al-Tunisi al-Maliki.

Mesir

(1) Al-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’ al-Hanafi.

(2) Al-Syeikh Ahmad bin Muhammad bin Abdul Aziz bin Rafi’ al-Husaini al-Tahtawi.

(3) Al-Syeikh Muhammad Imam bin Burhanuddin Ibrahim al-Syafi’e.

(4) Al-Syeikh Muhammad Ibrahim al-Humaidi al-Samaluti al-Maliki.

(5) Dan ramai lagi.

Hijjaz

(1) Al-Syeikh Umar Hamdan al-Mahrasi.

(2) Al-Syeikh Abdul Qadir bin Taufiq al-Syalabi al-Tarabulsi.

(3) Al-Syeikh Soleh bin al-Fadl al-Tunisi al-Hanafi.

(4) Dan ramai lagi.

Syam

(1) Al-Syeikh Muhammad Sa’id bin Ahmad al-Fara al-dimasyqi al-Hanafi.

(2) Al-`Allamah Badruddin bin Yusuf al-Husni al-Dimasyqi al-Syafi’e.

(3) Al-Syeikh Yusuf bin Ismail bin Yusuf al-Nabhani al-Syafi’e al-Beiruti.

(4) Dan ramai lagi.

Guru Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dari kalangan wanita:-

(1) Ummu al-Banin Aminah binti Abdul Jalil bin Sulaim al-Dzara al-Dimasyqiyyah.

Murid-murid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari:-

(1) Al-`Allamah al-Syeikh Muhammad al-Hamid.

(2) Al-`Allamah al-Syeikh Abdul Aziz `Uyun al-Saud.

(3) Al’Allamah al-Muhaddith al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

(4) Al-`Allamah al-Syeikh Muhammad `Awamah.

(5) Al-`Allamah al-Faqeh al-Syeikh Muhammad `Ali al-Mourad

(6) Al-Ustaz al-Doktor Abdul Wahab Abdul Latif

(7) Al-Ustaz al-Doktor `Ali Jum’ah al-Mesri – Mufti Mesir sekarang.

(8 ) Al-Syeikh Soleh al-Ja’fari.

(9) Al-Syeikh Hamdi Ashlan al-Albani.

(10) al-Doktor Farouk Hamadah

(11) Dan ramai lagi.

Senarai Kitab Karangan Abdullah al-Siddiq al-Ghumari:-

1) Usul al-Din

(1) Itqan al-Sun’ah Fi Tahqiq Ma’na al-Bid’ah

(2) Irsyad al-Jaahil al-Ghabi ila Wujud `Itiqad Anna Adam Nabiyyun.

(3) Al-Tahqiq al-Baahir Fi Ma’na al-Iman Billah Wa al-Yaum al-Akhir.

(4) Dan beberapa buah lagi.

2) Ulum al-Quran

(1) Al-Ihsan Fi Ta’aqqub al-Itqan.

(2) Bid’ al-Tafaasir.

(3) Taudiih al-Bayan Li Wusul Sawab al-Quran.

(4) Dan beberapa buah lagi.

3) Ulum al-Hadis

(1) al-Ahadith al-Muntaqaat Fi Fadhail Sayyidina Rasul Allah.

(2) al-Arbauun Hadisan al-Siddiqiyyah.

(3) Al-Arbauun al-Ghumariyyah Fi Syukr al-Niam.

(4) Dan beberapa buah lagi.

4) Al-Fiqh Wa al-Usul

(1) al-Adillah al-Raajihat `ala Fardiyyah Qiraat al-Faatihah.

(2) Tanwir al-Basirah Bi Bayan `Alamaat al-Kabirah.

(3) Al-Haawi Fi al-Fatawa.

(4) Dan beberapa buah lagi.

5) Al-Tasawuf

(1) Silsilah al-Thariqah al-Shaaziliyyah al-Siddiqiyyah.

(2) Al-Maarif al-Zuqiyyah Fi Adzkar al-Thariqah al-Siddiqiyyah

(3) Dan beberapa buah lagi.

Senarai Kitab Kajian Abdullah al-Siddiq al-Ghumari:-

(1) Akhlak al-Nabi Li Abi al-Syeikh bin Hayyan (368 H)

(2) Al-Istiqraaj Li Ahkam al-Kharaaj Li Abi Rejab al-Hanbali.

(3) Raf al-Yadain Fi al-Doa Ba’da al-Solat Li Muhammad bin Maqbul al-Ahdal

(4) Musnad Abi Bakr al-Siddiq.

(5) Musnad `Umar bin al-Khattab.

(6) Musnad `Uthman bin Affan.

(7) Dan beberapa buah lagi.

Rujukan:

(1) Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari

(1328-1413 H / 1910-1993 M)

Karangan: Dr. Farouk Hamadah

Terbitan: Dar al-Qalam – Dimasyq

Cetakan Pertama 1427 H / 2006 M

(2) Edisi Arab: Itqan al-Sun’ah Fi Tahqiq Ma’na al-Bid’ah

Karangan: al-Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari

Terbitan: Maktabah al-Kaherah – Mesir

Cetakan 1426 H / 2005 M

(3) Edisi Rumi: Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi

Karangan: al-Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari

Penterjemah: Muhammad Ramzi Omar

Terbitan: Middle East Global (M) Sdn. Bhd.

Cetakan Pertama 2005 M

YB : ABCD

Hayy El-Fath, Saknia – 15 April 2008 – Selasa – 12:25

“BERHIJRAHLAH KE ARAH PARADIGMA YANG LEBIH BAIK”

h1

Buat Permulaan, Betulkan Niat

4 April, 2008

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”


(Riwayat dua imam hadith, Abu Abdullah Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhori dan Abu Al Husain, Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naishaburi dan kedua kitab Shahihnya yang merupakan kitab yang paling shahih yang pernah dikarang).


Jadi, apa yang penting buat peringatan kita semua, ikhlaskan niat kita dalam melakukan sebarang perkara untuk memperoleh keredhaan dariNya. Sebab itulah, saya mulakan dengan hadith ini agar saya terus istiqamah dan berjalan atas landasan yang benar. Doakanlah. Ameen…

YB : ABCD

Hayy El-Fath, Saknia – 04 April 2008 – Jumaat – 22:52

“BERHIJRAHLAH KE ARAH PARADIGMA YANG LEBIH BAIK”